‘Kenapa gambarkan macam saya yang sorok beras?’ – Sanusi
Sanusi mempersoalkan tujuan pihak tertentu termasuk SPRM yang menggembar-gemburkan siasatan berhubung kontrak pembekalan beras bernilai RM100 juta yang berlaku tujuh tahun lalu
ALOR SETAR 11 Okt – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan tujuan pihak tertentu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggembar-gemburkan siasatan berhubung kontrak pembekalan beras bernilai RM100 juta yang berlaku tujuh tahun lalu ketika isu makanan ruji itu berlaku pada masa ini.
Menurutnya, berita yang disebarkan tersebut seolah-olah kejadian itu baru berlaku di bawah pentadbirannya sedangkan tiada sebarang tindakan mahkamah diambil untuk membawa mereka yang didakwa terlibat ke muka pengadilan dalam kes berkenaan.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana kejadian yang berlaku pada 2016 itu boleh membawa kepada isu kekurangan beras tempatan yang berlaku pada hari ini.
“Laporan dilontarkan kepada masyarakat tanpa penjelasan sewajarnya, tergantung seolah-olah peristiwa itu berlaku semalam walhal ia berlaku pada 2016. Saya tak tahu atas kehendak siapa ianya dibuat tetapi ghairah dibina spekulasi seolah-olah punca ketiadaan beras tempatan ketika ini disebabkan oleh Sanusi sorok beras.
“Apabila Malaysia dibentuk, kuasa kerajaan negeri ada tiga saja iaitu tanah, agama dan sumber air manakala perkara lain di bawah Kerajaan Persekutuan. Tetapi ada kecenderungan akhir-akhir ini apabila berlaku kegagalan di peringkat agensi Persekutuan atau kementerian, mereka seolah-olah cari kambing hitam untuk letak kesalahan itu kepada negeri.
“Contohnya hal kawal selia beras, apabila tak cukup beras tempatan dan berlaku kenaikan harga import, mereka cari kambing hitam untuk disalahkan. Oleh kerana kebanyakan padi ditanam di Kedah, maka mata orang ramai tertumpu di negeri ini dan disebabkan itu diberatkan kesalahan seolah-olah Kedah gagal sedangkan perkara itu di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Baru-baru ini, SPRM mengesahkan kegiatan penipuan sebuah syarikat yang mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bagi pembekalan beras bernilai lebih RM100 juta, namun pembekalan tidak dibuat.
Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, pada Mac 2016, satu perjanjian melibatkan kontrak pembuatan dan pembekalan telah ditandatangani antara syarikat Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang diwakili Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Allahyarham Datuk Zaini Japar dengan sebuah syarikat.
Katanya, projek itu melibatkan pemasaran tiga jenis beras keluaran KAHB berjumlah 28,800 tan metrik yang bernilai RM102.5 juta dengan syarikat berkenaan akan membekalkan beras kepada KAHB bagi dijual kepada sebuah syarikat lain.
“Saya dimaklumkan KAHB sebagai orang tengah terima komisen RM1 bagi setiap beg beras dijual dengan transaksi jualan serta belian bermula pada November 2016 hingga November 2017. Tempohnya hanya setahun saja dan bukan berlarutan hingga sekarang.
“Siasatan kemudian dijalankan pihak berkuasa selepas itu termasuk SPRM, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras dengan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang pada 24 Disember 2019 dimaklumkan siasatan SPRM telah selesai dan fail sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.
“Akhirnya pada 11 Oktober 2021, Kedah Agro menerima makluman bahawa isu audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 siri dua berstatus hijau atau selesai,” katanya.
Ketika perkara itu dianggap sudah selesai katanya, beliau hairan mengapa ianya kembali dibangkitkan ketika ini di tengah-tengah isu ‘kehilangan’ beras tempatan hingga menampakkan seolah-olah beliau yang menyorokkan bekalan beras.
“Ini orang yang serbu tak pakai ‘helmet’ (tanpa fakta). Mereka akan diburu dan saya beri 24 jam untuk tarik balik segala dakwaan yang beri gambaran bahawa skandal beras tempatan hilang ini ada kena-mengena dengan kerajaan negeri, anak syarikat kerajaan negeri atau pemimpin kerajaan negeri.
“Jika tidak dipadam atau ditarik balik, kami akan arahkan peguam buru semua pemilik akaun media sosial, media, wartawan mahu pun syarikat yang terbit berita itu untuk dihadapkan ke mahkamah agar menjadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya. –UTUSAN