Berita

Keputusan SPM dah lama umum tapi upah guru jadi pengawas, tanda kertas masih belum bayar

KUALA LUMPUR 23 Jun – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 sudah pun diumumkan beberapa minggu lalu, malah sudah ada pelajar yang sudah mendapat tajaan biasiswa daripada universiti dan institusi lain.

Namun, berbeza pula nasib bagi guru yang menjadi pengawas dan penanda kertas SPM 2022 yang mendakwa masih belum dapat tuntutan bayaran serta upah sehingga ke hari ini.

Perkara itu didedahkan menerusi hantaran seorang guru sekolah rendah, Mohd. Fadli Salleh, dia memuat naik beberapa tangkap layar luahan beberapa orang guru daripada kumpulan Kami Guru Malaysia (KGM).

“Dalam Islam, upah harus dibayar sebelum keringat kering. Dah la bayaran tidak setimpal dengan bebanan tugas, tuntutan bayaran yang dibuat kena potong dan lambat bayar pula. Harap Lembaga Peperiksaan Rasmi (LPM) ambil serius isu ini,” tulisnya.

Tinjauan Xklusif di ruangan komen mendapati ramai guru yang mempersoalkan bilakah bayaran tersebut akan dibuat kepada mereka berikutan keputusan SPM telah pun diumumkan pada 8 Jun lalu.

“Wahai tuntutan pengawas SPM 2022, adakah masih sesat lagi? Kalau macam ini, maaflah tidak akan terima lagi untuk jadi pengawas SPM tahun 2023,” tulis seorang guru.

Ada juga guru yang mendedahkan bahawa mereka hanya dibayar RM4 untuk kertas yang ada hampir seratus markah dan terdiri daripada 50 ke 60 helaian muka surat.

“Keputusan sudah keluar, bayaran masih tak dapat. Begitulah kita cikgu ni diperlakukan. Bayaran sudah lah tak setimpal. Zaman dah berubah. Macam-macam tuntutan untuk menanda.

“Peranti sendiri, data sendiri. Skema tak boleh dicetak. Masa menanda perlu curi-curi antara mengajar.

“Yang saya terkesan sekali bila dapat tahu tentang bayaran. Kertas amali sains yang hanya ada sikit soalan, soalan penuh hanya dalam dua muka surat, jumlah markah kurang dari 20 markah, bayarannya RM3,” luah guru tersebut.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya harga bayaran tersebut dikaji kerana sememangnya tidak adil kerana sudah memerah tenaga guru-guru seluruh Malaysia.

Pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023 lalu, seramai 373,974 calon yang menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara.

Keputusan SPM 2022 yang diumumkan pada 8 Jun lalu menyaksikan seramai 10,109 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Artikel Berkaitan

Back to top button