Kerajaan audit peralatan sukan sekolah
Ia sangat penting untuk memastikan peralatan sukan dan padang sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat

SERDANG 29 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan setiap peralatan sukan di sekolah diaudit bagi menjamin keselamatan murid ketika menggunakannya dalam kegiatan bersukan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sangat penting untuk memastikan peralatan sukan dan padang sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat seiring dengan dasar kementerian yang menggalakkan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
“Fasiliti pembangunan sukan mesti diberi tumpuan. Pada peringkat KPM, selain peruntukan berkaitan sukan, kami juga sedang melihat, bagaimana nak pastikan peralatan sukan (di sekolah) diaudit agar berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan anak-anak,” katanya.
Bercakap selepas merasmikan Padang Sintetik Soon Ah Koon SJK(C) Serdang hari ini, Fadhlina berkata, dasar 1M1S juga akan diperluas agar semua murid mempunyai akses kepada permainan dan sukan.
Ini bagi menjayakan aspirasi ke arah membudayakan sukan dalam kehidupan supaya generasi lebih sihat, tambahnya.
“Pembudayaan sukan harus bermula dari peringkat awal persekolahan … Paling penting dalam konteks keseluruhan, holistik pembangunan karektor (murid) ini termasuklah dalam sukan.
“Kami juga sedang berusaha agar seboleh-bolehnya sukan ini juga dapat menjadi medium perpaduan dalam kalangan pelajar,” kata Fadhlina. – Xklusif