Kerajaan jangan abai kebajikan penjawat awam – Muhyiddin
Isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara sudah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas

KUALA LUMPUR 24 Jan – Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang dasar baharu pelantikan penjawat awam perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara sudah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.
Katanya, sebarang bentuk penyelesaian yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan penjawat awam.
“Langkah itu juga tidak boleh mengecilkan saiz perkhidmatan awam tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara.
“Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.
Muhyiddin berkata, penjawat awam adalah tunjang keupayaan negara (state capacity) yang terbukti penting ketika negara menghadapi krisis.
“Kita pastinya masih ingat ketika wabak COVID-19 melanda negara, penjawat awam terutamanya yang berkhidmat dalam sektor kesihatan dan keselamatan menjadi petugas barisan hadapan (frontliners) yang penting dalam usaha melawan wabak itu.
“Saya masih ingat setiap keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan dapat dilaksanakan dengan segera, cekap dan berkesan.
“Ini kerana negara kita mempunyai petugas barisan hadapan yang mencukupi di seluruh pelusuk negara.
“Bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguat kuasa, kakitangan pertahanan awam dan lain-lain jabatan yang berkaitan, setiap keputusan dan langkah yang diputuskan di Putrajaya belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan di seluruh negara,” katanya
Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata disebabkan penjawat awam, Malaysia menjadi antara negara paling awal keluar dari pandemik COVID-19.
“Justeru, apa pun langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam jangan diabaikan dan pengecilan saiz perkhidmatan awam jangan dijadikan fokus utama,” katanya
Bekas Perdana Menteri itu berkata, untuk mengatasi masalah beban fiskal negara, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha menambah hasil negara dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi. – Berita Harian