Kerajaan Kedah buat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi bekenaan lesen permis judi – Sanusi
Pembatalan larangan memberi lesen atau membaharui lesen premis judi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Alor Setar ditangguh terlebih dahulu sehingga proses rayuan daripada Kerajaan negeri Kedah selesai.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, notis rayuan melalui Penasihat Undang-Undang Negeri telah difailkan pada 24 Jun lalu, manakala notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi difailkan pada 4 Julai baru-baru ini.
“Bila telah menjadi kes mahkamah, saya tidak boleh membuat apa-apa ulasan. Tetapi keputusan mahkamah membatalkan keputusan kerajaan negeri tidak membaharui lesen premis ditangguh dahulu sehingga kes ini didengar di Mahkamah Rayuan terlebih dahulu.
“Kalau tak buat penangguhan, premis judi dibolehkan dibuka kembali tetapi lesen untuk membukanya hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya pada sidang media di Alor Setar, lapor HarakahDaily.
Sanusi berkata, beliau melaksanakan tanggungjawab untuk patuh kepada perintah Tuhan dengan mengharamkan kegiatan judi.
“Saya sudah laksanakan peranan saya dan tetapkan pendirian selari dengan perintah Tuhan. Sesiapa yang terbabit itu, jawab dengan Tuhan. Dia ingat lepas di dunia, akhirat tak lepas.
“Saya telah buat apa dalam bidang kuasa saya. Saya telah laksanakan perintah Tuhan ke atas saya. Setiap manusia dihantar ke dunia ada tanggungjawab sebagai khalifah,” katanya.
Mengenai pampasan yang dituntut oleh pemilik premis perjudian, Sanusi berkata, hal berkenaan akan ditentukan oleh mahkamah.
Berikutan itu ujar beliau, dengan jumlah pampasan yang diterima, rakyat Kedah boleh melihat sendiri berapa banyak wang dibelanjakan untuk berjudi.
SEMENTARA Itu, Ketua Penerangan Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa tidak semua orang yang bukan beragama Islam benar-benar menyukai aktiviti judi.
Oleh itu beliau menasihatkan, Parti Gerakan tidak menjadi juara untuk mempertahankan kegiatan tersebut.
“Lagipun, anda (Gerakan) tidak akan mendapat tambahan undi pun dengan bersikap seperti ini dengan mempertahankan mereka yang suka bermain judi,” katanya.
Ahmad Fadhli berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam membenarkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri yang membuat penutupan terhadap semua kedai judi harus dihormati oleh setiap pihak.
Namun begitu, kata beliau, Pas tetap mempertahankan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.
“Saya tidak menafikan yang kita semua perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam isu sebegini.
“Namun kita juga harap kerajaan negeri Kedah akan mencari ruang dan peluang dalam konteks undang-undang yang ada bagi memastikan premis-premis judi dan loteri akan terus kekal ditutup,” katanya.
Kata beliau lagi, tiada satu agama pun yang ‘menghalalkan’ amalan judi yang mana tindakan kerajaan negeri Kedah dalam menutup semua kedai judi adalah tepat.
“Jadi, sekali lagi saya ingin nak ingatkan Gerakan iaitu jangan lagi mempertahankan sesetengah kelompok yang sukakan judi semata-mata untuk meraih undi kerana perkara tersebut adalah tidak wajar.
“Kita juga mengharapkan supaya setiap kedai judi akan terus ditutup oleh kerajaan negeri Kedah dalam apa jua keadaan,” katanya.