Berita

Kerajaan kekal program Payung Rahmah, Jualan Agro Madani

Kerajaan akan komited untuk terus membantu rakyat.

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Kerajaan Perpaduan kekal komited untuk meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.

Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, pemain industri, wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil pertubuhan dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli majlis NACCOL.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani itu akan terus dilaksanakan meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda kepada 2.0 peratus iaitu terendah dalam tempoh hampir dua tahun.

Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut akan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang bakal memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan menangani isu kos sara hidup.

“Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah diarahkan untuk lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar beras putih tempatan (BPT).

“Ia terutama bagi kawasan-kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang telah diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sebanyak tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup telah dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, mesyuarat itu telah berbincang berkenaan kawalan harga ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022.

Beliau menegaskan penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

“Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.

“Adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.

“Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh kementerian sebelum dimuktamadkan,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button