Kerajaan komited selesai masalah sekolah daif
Perkara itu akan menjadi antara fokus utama kerajaan untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan diperbaiki
PUTRAJAYA, Feb 12 — Kerajaan akan memperincikan masalah sekolah daif di seluruh negara bagi meningkatkan mutu pendidikan serta kebajikan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan menjadi antara fokus utama kerajaan untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan diperbaiki bermula dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini.
Susulan itu, Anwar sudah pun mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.
“Tumpuan kita tentu perbaiki mutu (pendidikan) dan menyelesaikan (isu sekolah daif) supaya jangan ada rakyat, baik orang Penan dan Dayak di pedalaman Sarawak, India di Ijok, Melayu di Manek Urai, termasuk kategori miskin.
“Jadi, saya beritahu menteri mana sahaja sekolah daif harus disenaraikan tanpa kira jenis sekolah, tanpa kira jenis daerah, tanpa kira siapa pelajarnya. Tanggungjawab kita mulai tahun ini, akan pastikan tumpuan khusus untuk perbaiki semua sekolah daif dalam negara,” katanya.
Menurut Anwar, tiada masalah untuk mempertahan bahasa ibunda namun kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan harus dikuasai dengan baik dalam kalangan semua rakyat kerana ia mencerminkan kesepakatan serta perpaduan.
Kedudukan Bahasa Melayu itu (adalah sebagai) bahasa rasmi, bahasa kebangsaan maka penguasaannya harus baik dalam kalangan semua rakyat, yang itu saya tidak marah langsung.
“Kalau ada sekolah aliran Cina, Tamil atau swasta, Malaysia nyatakan nak kurang beri tumpuan kepada bahasa kebangsaan, saya tidak akan izinkan,” katanya.
Beliau berkata penguasaan bahasa lain harus diberi sokongan kerana ia dianggap ilmu yang akan memberi faedah kepada negara.
Katanya selain pendidikan, kemudahan kesihatan negara mesti dijamin namun kejayaan itu perlu mendapat sokongan dan kerjasama untuk menyelamatkan negara yang rosak akibat salah guna kuasa.