Berita

Kerajaan lulus RM100 iuta pendahuluan biayai projek baik pulih sekolah, klinik daif di Sarawak – PM

Kementerian Kewangan akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta sebagai bayaran pendahuluan bagi membiayai projek baik pulih sekolah dan klinik daif di kawasan luar bandar Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan disegerakannya pada Isnin (hari ini).

“Memandangkan RM200 juta disebut oleh Premier Sarawak tadi… hari Isnin ini saya akan arahkan Kementerian Kewangan untuk menurunkan RM100 juta.

“Kalau tidak setiap kali program, Premier Sarawak akan tanya kita bila nak bayar hutang,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Anwar berkata, kerajaan persekutuan menyokong penuh komitmen dalam mempercepatkan pembangunan dan baik pulih sekolah serta klinik daif menerusi inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh kerajaan Sarawak.

Menurutnya, kesediaan kerajaan persekutuan dalam memberi laluan kepada Sarawak menjalankan projek menggunakan kerajaan negeri terlebih dahulu adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Kita perlu baiki sekolah daif, klinik daif bahkan membina Pusat Kanser Sarawak. Kalau boleh disegerakan, kita segerakan dan luluskan. Kalau tidak, Sarawak boleh laksanakan dahulu.

“Jadi mudah, tidak payah birokrasi atau terdapat halangan yang boleh menyebabkan kelewatan (projek).

“Misalnya, kalau nak buat klinik di Kapit, tak payah tunggu Putrajaya untuk luluskan. Percayalah pada pengurusan di Kapit atau Kuching untuk luluskan.

“Luluskan dahulu asalkan ikut peraturan kewangan, jangan ada sakau-menyakau, ikut peraturan dan jalankan terus,” ujar beliau.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anwar Ibrahim (@anwaribrahim_my)

Anwar menambah, ini akan memudahkan dan mempercepatkan projek sekali gus dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta tetamu kehormat lain.

 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button