
Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik dan produk vape di negeri ini, susulan gesaan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata kajian menyeluruh terhadap cadangan tersebut sedang dijalankan, dan mesyuarat itu akan melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan.
“Kami memandang serius isu ini dan akan memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terengganu bakal menjadi negeri pertama yang mengharamkan penjualan produk vape di premis perniagaan bermula 1 Ogos ini.
Ayob Khan sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri mengehadkan penjualan rokok elektronik, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penyalahgunaan dadah sintetik melalui peranti vape.
Beliau berkata Terengganu mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah kedua tertinggi di negara ini, dengan 914 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Jamaliah memaklumkan bahawa lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor ketika ini hanya meliputi peralatan elektronik dan tidak termasuk penjualan rokok elektronik atau cecair vape.
“Di peringkat persekutuan, kawal selia produk merokok, termasuk vape, terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga akan terlibat dalam perbincangan untuk menilai implikasi pelaksanaan pengharaman tersebut.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap dasar yang dibuat mengutamakan kesihatan awam dan kesejahteraan keseluruhan rakyat Selangor,” katanya.