Berita

Kerajaan perlu semak semula syarat benarkan artis luar adakan konsert

Perkara itu antara syor dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau), mengambil kira sebelum ini berlaku insiden tidak diingini, termasuk aksi biadap dan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam

KUALA LUMPUR 22 Nov – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diminta menyemak semula syarat kemasukan artis luar negara untuk mengadakan persembahan atau konsert di negara ini.

Perkara itu antara syor dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau), mengambil kira sebelum ini berlaku insiden tidak diingini, termasuk aksi biadap dan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Berikutan insiden biadap vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy dalam satu konsert di Litar Antarabangsa Sepang sebelum ini, menteri (Fahmi Fadzil) memaklumkan penyertaan kumpulan itu pada awalnya ditolak Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Namun kemudian, penganjur membuat rayuan dan kelulusan diberikan. Soalan saya kenapa pada mulanya tidak diluluskan dan atas dasar apa ia kemudiannya diberi kelulusan.

“Tahun ini, 450 permohonan (artis luar negara) dibuat, pasti akan ada lebih banyak insiden ditolak dan yang mengemukakan rayuan. Ini akan berlaku kelak, jadi apa usaha kerajaan untuk menyemak semula terutama memasukkan syarat ketat bagi menghalang artis (luar negara) yang ada propaganda, endoktrinasi serta rekod akhlak yang buruk daripada memasuki negara ini,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat Jawatankuasa bagi KKD di Dewan Rakyat, hari ini.

Julai lalu, kemunculan kumpulan pop rock, The 1975 ketika Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dikritik hebat kerana vokalisnya memperlekehkan undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) serta bercium dengan seorang anggota kumpulannya yang juga seorang lelaki.

Shahidan turut meminta penjelasan KKD sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah bagi membincangkan isu penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Semalam Perdana Menteri maklumkan akan jumpa Mufti Wilayah berkaitan konsert Coldplay yang akan berlangsung hari ini, jadi apa hasil perbincangan itu.

“Apakah ada tindakan segera yang akan diambil kerana konsert ini akan berlangsung kurang 24 jam,” katanya.

Semalam, dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Anwar memaklumkan akan berbincang dengan Mufti Wilayah berhubung keperluan meneruskan penganjuran konsert berkenaan.

Perdana Menteri berkata, ini mengambil kira ada pelobi daripada gerakan penyokong pejuang Palestin yang menyokong penganjuran konsert berkenaan dan pada masa yang sama terdapat pihak lain menyarankan konsert itu dibatalkan. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button