Berita

Kerajaan pertimbang undang-undang ‘anti-Ali Baba’

Tindakan tegas akan diambil terhadap rakyat tempatan yang sewakan lesen perniagaan kepada pekerja asing.

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang ‘anti-Ali Baba’ yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat ditetapkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata masalah membabitkan lesen perniagaan disewakan kepada warga asing itu berlaku disebabkan kebanjiran kelompok itu di negara ini sejak berpuluh tahun lalu.

Beliau berkata, isu lambakan pendatang asing di negara ini bermula daripada pergantungan keterlaluan kepada golongan terbabit terutama dalam sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

“Ia bermula dengan pergantungan kita kepada pekerja asing. Apabila ditanya kepada majikan, mereka memaklumkan orang (rakyat) kita tak mahu melakukan kerja dalam industri tertentu.

“Sebahagiannya kerana disebabkan faktor gaji minimum kerana rakyat mahu yang lebih berdaya saing berbanding tangga gaji dulu kerana keadaan sekarang (gaji rendah) kesan daripada puluhan tahun lalu.

“Apabila pekerja asing sudah ramai, orang kita pula bertindak menyewakan dan memberikan lesen (dengan cara Ali Baba) untuk mereka menjalankan perniagaan,” katanya dalam kenyataan di aplikasi X, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang pengguna yang menggesa undang-undang berkaitan pekerja asing digubal kerana subsidi khusus untuk rakyat tempat, turut dinikmati golongan itu.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan, anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang, di sini.

Difahamkan serbuan itu dilakukan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.

Rafizi pada laporan media 17 Julai lalu pula, menyebut kerajaan akan memperkenalkan undang-undang anti-Ali Baba dalam usaha menghapuskan amalan berkenaan dalam sektor ekonomi di negara ini.

Katanya, pengenalan undang-undang itu perlu dibuat bagi memastikan usaha menghapuskan amalan Ali Baba tidak dibuat secara cakap kosong, sebaliknya menerusi akta khusus.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, antara langkah lain yang perlu dibuat bagi mengurangkan pekerja asing adalah melaksanakan reformasi pasaran kerja melalui gaji progresif, latihan dalam industri (AiI) dan memuktamadkan ‘phasing Downy’ pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL)

“Selain itu, pada masa sama, Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030 menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Rafizi berkata, semua langkah terbabit memerlukan keseimbangan supaya tiada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

“Tetapi seperti pesan saya kepada majikan dan industri, akan tiba masanya pergantungan kepada warga asing ini (akan dikurangkan) kerana kita tidak mampu untuk membiarkannya terus berlanjutan seperti ini,” katanya.

Menjawab saranan supaya pengambilan tenaga kerja asing dihentikan pada tahun ini, Rafizi berkata, perkara itu sudah dilakukan tetapi permit kerja sedia ada dan pekerja warga asing yang ada di negara ini sudah terlalu ramai.

“Jumlah yang ramai itu belum dikira lagi bagi warga asing yang permit kerjanya sudah luput tetapi mereka tidak balik ke negara asal seperti ditetapkan.

“Inilah cabaran agensi penguat kuasa sepanjang masa (untuk mengesan mereka dan dikenakan tindakan undang-undang),” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button