Berita

Kerajaan putus isu subsidi ayam, telur sehari dua lagi

Kerajaan kini mengambil kira jualan yang kini mula dipasarkan di bawah harga siling serta bekalan di pasaran yang semakin stabil

KUALA LUMPUR 4 Okt – Kerajaan akan membuat keputusan berkaitan subsidi ayam dan telur dalam sehari dua lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jualan yang kini mula dipasarkan di bawah harga siling serta bekalan di pasaran yang semakin stabil.

“Saya masuk mesyuarat Kabinet (hari ini) hanya 10 minit. Saya bentang mengenai ayam serta telur dan kerajaan akan buat keputusan dalam sehari dua ini.

“Sekarang ayam dan telur keadaannya (bekalan) sudah stabil. Harga sudah di bawah siling. Jadi, Kabinet akan buat keputusan. Kita tunggulah keputusan Kabinet itu.

“(Keputusan itu berkaitan subsidi) … ya … sekarang sudah stabil,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya dari Jepun, Miyashita Ichiro sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 di sini, hari ini.

Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Pada Jun pula, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Julai lalu.

Sementara itu, menyentuh bekalan import produk perikanan dari Jepun yang didakwa mengandungi sisa radioaktif terawat, Mohamad berkata, hasil ujian ke atas sampel ikan yang dibawa masuk mendapati ia negatif.

“Semua yang kita uji negatif. Jadi, tiada halangan import dari Jepun yang menjadi isu baru-baru ini. Kerana ia sudah disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun kita masih letakkan kekangan bekalan ikan dari Jepun di peringkat empat. Peringkat empat peringkat paling diberi perhatian, jika ada radioaktif seperti didakwa. Setakat ini, tidak ada. Sebarang ikan yang datang dari Jepun, makanlah. Ia selamat,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Malaysia bercadang meningkatkan import beras dari negara ASEAN lain bagi menstabilkan bekalan dan harga pasarannya, Mohamad berkata, perbincangan sentiasa dilakukan bersama Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bagi melihat keperluan itu.

“Itu kita bincang dengan BERNAS yang mana lebih murah sebab BERNAS lebih mengetahui dan kita sentiasa bincang dari semasa ke semasa,” katanya. – Harian Metro 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button