Kerajaan salur RM255 juta bantu pekebun kecil getah
Bantuan itu diberikan untuk mereka yang terkesan akibat musim tengkujuh.

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Kerajaan memperuntukkan RM255 juta bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meringankan beban pekebun kecil dalam menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 311,596 permohonan sudah diterima daripada jumlah sasaran penerima yang ditetapkan iaitu 318,750 individu membabitkan tiga agensi yang bertanggungjawab mengendalikan pembayaran berkenaan.
“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima sebanyak 230,735 permohonan, manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menerima 69,077 permohonan dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pula 11,784 permohonan.
“Setakat ini, bagi fasa penyaluran bantuan, tiga agensi sudah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 iaitu pekebun kecil dan penoreh getah RISDA sebanyak RM76,140,800, LIGS (RM55,261,600) dan FELDA (RM9,427,200),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, setakat bulan ini, sebanyak 271,213 permohonan sudah diluluskan dan setiap pemohon juga sudah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi November dan Disember tahun ini.
“Baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada Januari dan Februari 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800,” katanya.
Beliau berkata, kelayakan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melalui RISDA adalah pekebun kecil dan penoreh yang memiliki dan mengusahakan tanaman getah tidak melebihi 2.5 hektar.
“Penyediaan BMT adalah untuk memastikan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan getah dan menjana kemakmuran yang berpanjangan dalam sektor pertanian.
“Kerajaan berharap usaha itu memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi serta membawa peningkatan kualiti kehidupan pekebun kecil,” katanya. — Berita Harian