Kerajaan segerakan usaha bawa pulang 2 rakyat Malaysia di Penjara Teluk Guantanamo
Perkara itu dibincangkan Saifuddin ketika berada di New York baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu dibincangkan beliau dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow, di New York baru-baru ini.
“Ini adalah pertemuan kedua saya dengan TYT Tina Kaidanow serta pertemuan susulan daripada lawatan saya ke Guantanamo Bay.
“Saya bertemu sendiri dengan kedua-dua warga Malaysia yang ditahan di sana. Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh.
“Ini bertitik tolak tentang kehidupan, tentang keinsafan, tentang peluang menjadi insan lebih baik. Insya-Allah, kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook dan aplikasi X, hari ini.
Dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. — Xklusif