Kerajaan setuju lanjut cukai SSPN
Keputusan itu dibuat susulan keresahan yang dibangkitkan rakyat serta teguran kepada kerajaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu RM8,000 bagi simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan keresahan yang dibangkitkan rakyat serta teguran kepada kerajaan.
“Jumlah ini bukan jumlah B40. Ini jumlah pendapatan orang yang lebih sederhana. Bagaimanapun, kerana maksudnya adalah pendidikan dan belanja pendidikan kian meningkat, sebab itu kita beri kelonggaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim mengesahkan kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.
Ia berikutan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.
Katanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,800.
Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.