Berita

Kerajaan tak bercadang denda lelaki naik koc ‘merah jambu’

Kerajaan akan terus meningkatkan advokasi dan teguran.

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kerajaan tidak bercadang mengenakan hukuman atau denda terhadap penumpang lelaki yang menceroboh koc khas wanita, sebaliknya akan terus meningkatkan advokasi dan teguran.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata sejak koc “merah jambu” itu diperkenalkan pada 18 Sept di transit aliran massa (MRT) laluan Kajang, semakin ramai golongan lelaki cakna terhadap larangan memasuki gerabak itu.

“Setakat ini, belum ada lagi sebarang peraturan untuk mendenda atau hukuman (kepada penumpang lelaki masuk ke koc wanita) tetapi lebih penting kita beri galakan dan teguran.

“Dari segi pematuhan itu sangat tinggi juga, ramai dalam kalangan mereka apabila tahu itu adalah koc wanita, mereka akan keluar cepat-cepat,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi pertanyaan menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) sama ada kerajaan bercadang meningkatkan tatacara operasi bagi koc khas wanita, dan menambah bilangannya.

Loke berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan perkhidmatan berkenaan terlebih dahulu sebelum menambah kapasiti koc wanita agar tidak berlaku kesesakan di gerabak lain.

“Untuk penumpang wanita, ia adalah pilihan kerana mereka masih boleh masuk ke koc lain. Jika kita hanya tambah koc wanita dan pada masa sama akan kurangkan koc untuk penumpang lelaki juga. Ini akan timbulkan masalah,” katanya.

“Daripada empat koc sekarang, satu koc dikhaskan untuk wanita dan kita akan lihat keberkesanan itu terlebih dahulu.”

Awal bulan ini, tular video tindakan seorang penghantar makanan bertindak menghalau sekumpulan lelaki yang duduk dalam koc wanita, dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna wanita. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button