Berita

Kerajaan teruskan biasiswa JPA untuk pelajar perubatan

Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan penajaan JPA dalam tiga bidang berkenaan yang diumumkan di Parlimen kelmarin, dibuat mengikut dasar terdahulu dan perlu dikaji semula.

KUALA LUMPUR 12 Jun – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneruskan program tajaan biasiswanya kepada pelajar perubatan, pergigian dan farmasi di institut pengajian tinggi selepas mendapati terdapat unjuran keperluan pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan penajaan JPA dalam tiga bidang berkenaan yang diumumkan di Parlimen kelmarin, dibuat mengikut dasar terdahulu dan perlu dikaji semula.

Katanya, unjuran terkini yang dibuat mendapati terdapat keperluan penajaan kepada program berkenaan diteruskan berikutan terdapat kes doktor kontrak meletak jawatan dan memilih sektor swasta dalam laluan kerja mereka.

“Sejak minggu lalu, saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu. Jadi saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada.

“Maknanya program biasiswa JPA untuk sektor ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dicapai pada 2025.

Berikutan itu, KKM akan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, berikutan bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak dapat menghalang doktor kontrak meletak jawatan dan memilih berkhidmat di dalam sektor swasta yang mampu memberi gaji lebih tinggi.

Terdahulu, kerajaan melakukan tindakan sama dengan meneruskan pemberian subsidi bagi bahan mentah ayam dan telur selepas mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat.

Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai depan.

Jelasnya penamatan tersebut membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit ketika ini.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button