Kereta api dan trak bertembung di Russia, lebih 100 cedera
Sekurang-kurangnya 100 cedera selepas kereta api yang membawa lebih 800 penumpang bertembung dengan sebuah trak di persimpangan kereta api di selatan Russia, kata pihak berkuasa.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan bahagian yang kelihatan seperti trak bertaburan di atas tambak berumput di sebelah landasan kereta api, di mana beberapa gerabak kereta api tersadai di sisi.
Gabenor wilayah Volgograd selatan, Andrei Bocharov berkata, kereta api yang membawa kira-kira 800 penumpang di antara bandar Kazan dan Adler itu bertembung dengan trak berkenaan di laluan kereta api melintas tanpa sistem kawalan.
“Kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kereta api tergelincir, menyebabkan sembilan terbabas dari landasan termasuk tujuh daripadanya terbalik.
“Setakat ini, lebih daripada 100 orang cedera,” kata Kementerian Situasi Kecemasan Russia (EMERCOM).
Dalam pada itu, agensi berita TASS melaporkan, kira-kira 30 orang dimasukkan ke hospital termasuk 15 kanak-kanak, manakala 22 kru ambulans dihantar ke tempat kejadian untuk merawat mangsa yang cedera.
Jawatankuasa Siasatan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan jenayah susulan kejadian itu.
Russian Railways iaitu syarikat pengendali kereta api terbabit, menyalahkan pemandu trak berkenaan yang didakwa sebagai punca nahas itu berlaku.
“Pemandu itu melanggar peraturan lalu lintas dan memandu ke arah persimpangan dalam keadaan sistem isyarat berfungsi dengan baik.
“Pemandu kereta api menggunakan brek kecemasan tetapi rempuhan tidak dapat dielak kerana jaraknya yang dekat. Kereta api itu bergerak dengan kelajuan 65 kilometer sejam,” katanya. – AFP