Kereta guru wanita dirempuh dari belakang sebelum dirompak
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah.

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Seorang guru wanita berusia 47 tahun berdepan situasi cemas apabila dilanggar dari belakang sebelum dirompak di Sandakan, Sarawak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Malek berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Mangsa, seorang guru berusia 47 tahun sedang memandu ke tempat kerja dari Taman Megah ke SM Sung Siew sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang.
“Wanita itu kemudian memberhentikan keretanya, turun dan bersemuka dengan pemandu. Bagaimanapun, pemandu terbabit dikatakan mengeluarkan sebatang kayu dan mula mahu memukul mangsa.
“Dia berjaya menangkis serangan dan berlaku pergelutan di mana suspek dipercayai merampas beg tangan guru sebelum melarikan diri menaiki kenderaan sendiri,” katanya.
Jelasnya, guru terbabit berjaya melarikan diri tanpa kecederaan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, katanya sambil menambah dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000.
Tambahnya, polis sedang memburu suspek dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt Kharuddin di talian 013-907 1709. — The Star