Berita

Kerjasama Google, kerajaan buka peluang 300,000 pekerjaan

Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan pelbagai saiz dalam memajukan daya saing digital.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kerajaan Malaysia dan Google hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat.

Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan pelbagai saiz dalam memajukan daya saing digital melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab, dan dasar mengutamakan awan, kata Google dalam kenyataan.

“Komitmen terbaru Google ini yang bertujuan untuk mempercepat inovasi tempatan dan pembangunan tenaga kerja dalam bidang AI pastinya akan meningkatkan daya saing digital negara, selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Rangka Kerja Ekonomi Madani disasarkan untuk meningkatkan saiz ekonomi Malaysia, serta memastikan semua pihak berkepentingan, terutamanya rakyat dan perniagaan kecil, dapat menikmati faedah sosio-ekonomi seterusnya, katanya.

Google berkata inisiatif terbaru itu adalah bersandarkan kepada pelaburannya di Malaysia sejak 12 tahun lepas.

Tahun lepas, produk dan program syarikat itu menyokong lebih 47,900 pekerjaan, selain menyumbang sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan tempatan dengan manfaat ekonomi bernilai kira-kira USD2.8 bilion.

“Perkongsian yang kami umumkan hari ini dengan kerajaan Malaysia menyelaraskan misi tempatan Google untuk memajukan Malaysia dengan matlamat kerajaan bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi termasuk peluang pekerjaan yang saksama,” kata Presiden & Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google Ruth Porat.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengalu-alukan sumbangan berterusan Google kepada rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan, terutamanya melalui program yang membimbing tenaga kerja mahir dan membantu perniagaan kecil negara berkembang ke peringkat serantau.

“Selain menyokong pencapaian misi NIMP 2030, kerjasama ini juga akan meningkatkan keseluruhan daya saing global Malaysia kepada pelabur asing. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan rancangan pelaburan Google di Malaysia,” katanya.

Tingkat kemahiran 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026

Untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan digital kepada rakyat Malaysia, Google Cloud, CloudMile dan Trainocate menyediakan lima kaedah pembelajaran digital tanpa kos.

“Kaedah pembelajaran itu yang boleh diakses menerusi program Go Cloud yang bertujuan menambah kemahiran 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 terdiri daripada kursus secara dalam talian untuk membantu individu menggunakan AI generatif (genAI), analitik data dan alat produktiviti berasaskan awan dengan lebih baik.”

Mereka yang melengkapkan lima kaedah pembelajaran itu akan memperoleh lencana kemahiran digital yang boleh dikongsikan dalam resume dan melanjutkan akses 30 hari kepada lebih banyak kaedah pembelajaran tanpa kos.

Google berkata, program ini adalah berasaskan Gemilang, program latihan digital yang menyediakan 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google dengan kerjasama institusi pendidikan dan badan bukan keuntungan.

Selain itu, kerajaan dan Google Cloud akan memulakan inisiatif bersama landas pelancaran AI untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membantu syarikat tempatan meneroka pasaran global.

Google juga akan menyokong penambahbaikan Dasar Awan Pertama sedia ada kerajaan, menyumbang kepakaran dasar dan Rangka Kerja AI Terjaminnya untuk bergerak seiring dengan kemajuan terkini dalam pengkomputeran awan dan AI. — BH

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button