
KUALA LUMPUR 6 Dis. – Kerjasama antara UMNO dan Pas seperti yang disarankan sebelum ini dilihat tidak memberi manfaat kepada sesiapa.
Ahli Majlis Kertja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi berkata, buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama antara kedua-dua parti politik itu.
“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama UMNO-PAS. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.
“Peluang itu terlepas sejak gagalnya Muafakat Nasional. Ketika itu isu ICERD dan Statut Rom menyatukan UMNO-PAS. Tetapi bila faktor politik masuk ia membantut kerjasama itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Menurutnya, kerjasama itu hanya dibangkitkan semula kerana PRK Kemaman.
“Lebih baik moving forward. UMNO dan Kerajaan Perpaduan tumpu mensejahterakan ekonomi negara dan rakyat. Manakala PN jadi pembangkang yang konstruktif,” katanya.
Sebelum ini, seorang lagi anggota MKT Umno, Isham Jalil membangkitkan isu kerjasama antara kedua-dua parti susulan cadangan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai perdana menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.
Isham membuat cadangan itu berikutan kemenangan besar Ahmad Shamsuri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan menewaskan Barisan Nasional (BN). — Xklusif