Mahkamah tangguh keputusan kes bunuh CEO Cradle Fund
Banyak isu dibangkitkan ketika penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta panel hakim perlu meneliti keterangan secara terperinci
PUTRAJAYA 24 Okt – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim membabitkan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, turut menangguhkan keputusannya terhadap rayuan Samirah dan dua remaja itu untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan bahawa kebakaran itu yang tercetus di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja’.
Vazeer Alam yang mengetuai panel itu berkata, banyak isu dibangkitkan ketika penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta panel hakim perlu meneliti keterangan secara terperinci.
“Kedua-dua pihak akan dimaklumkan apabila kami bersedia tetapi ia tidak akan lama,” katanya selepas pendengaran rayuan itu yang mengambil masa lima hari bermula 4 September lalu.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili ketiga-tiga mereka menyelesaikan hujahannya, manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selesai berhujah pada 17 Oktober lalu.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun daripada tuduhan membunuh Nazrin selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi keesokan harinya.
Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja itu memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja.’
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah kematian Nazrin adalah kematian yang tragis dan bukan pembunuhan.
Beliau berkata, pihak pembelaan menunjukkan bukti kukuh dan keterangan saksi yang menyangkal dakwaan kebakaran, penemuan petrol dan pelbagai elemen pertuduhan pembunuhan.
Peguam itu menegaskan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai apatah lagi keterangan mengikut keadaan yang membawa kepada kesimpulan bahawa tertuduh melakukan pembunuhan.
“Setakat ini pihak pendakwaan tidak dapat menjelaskan bagaimana si mati mengalami kecederaan akibat letupan dan bagaimana corak seperti letupan itu muncul di dinding bilik tidur utama.
“Oleh itu, pihak pembelaan dengan rendah diri memohon rayuan pihak pendakwaan ditolak dan perintah dilepaskan serta dibebaskan oleh hakim perbicaraan terhadap tertuduh dikekalkan.
“Pihak pembelaan merayu campur tangan mahkamah ini untuk membetulkan salah arah fakta dan undang-undang oleh hakim perbicaraan berhubung penerimaan penemuan kebakaran dan petrol oleh jabatan bomba,” katanya. – BERNAMA