Berita

Kes bunuh Zayn Rayyan: Siasatan lebih 90%, akan ada tangkapan

Usaha kini terarah kepada semua maklumat yang dikumpul sepanjang siasatan.

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Selepas lebih sebulan pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, tumpuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini terarah kepada semua maklumat yang dikumpul sepanjang siasatan.

Ketika ini, siasatan polis sudah melepasi 90 peratus keseluruhan siasatan termasuk dalam elemen forensik, patologi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata langkah ini dibuat susulan hasil siasatan forensik pada masa ini yang dikategorikan berkesudahan secara negatif.

“Tumpuan kita (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) adalah meneliti dan mengkaji semula maklumat risikan yang ada selain mengumpul maklumat-maklumat yang baru.

“Melalui maklumat risikan sedia ada dan hasil siasatan yang sudah dikumpul kita akan mengkaji sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

“Kita juga berkemungkinan akan melakukan tangkapan ke atas suspek yang kita rasakan bertepatan dengan lebih 50 peratus kebarangkalian berdasarkan keterangan” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, cabaran dihadapi dalam siasatan kes Zayn Rayyan adalah polis tidak mempunyai motif sebagai petunjuk utama yang penting dalam siasatan terhadap mana-mana kes jenayah.

“Sebagai contoh kalau siasatan kes pergaduhan kongsi gelap, kita akan tahu motif disebabkan perselisihan antara kumpulan. Kalau kes pembunuhan wanita, kita akan tahu motifnya mungkin berkaitan cemburu dan kita akan ketahui hala tuju siasatan yang dijalankan, namun dalam kes ini kita tidak tahu motif atau punca dia (Rayn Zayyan) dibunuh.

“Daripada motif ini jugalah baru kita tahu apa punca dan hala tuju siasatan,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, JSJ Bukit Aman dan Polis Kontinjen Selangor masih menumpukan dan mengumpul segala maklumat dan petunjuk baru dalam mengenalpasti motif selain menjejaki pelaku pembunuhan Zayn Rayyan ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan kita akan memanggil ibu bapa, orang terdekat, saksi-saksi lain yang berada dalam lingkungan berkaitan kes pembunuhan ini dalam membantu siasatan sekaligus menyelesaikan kes ini.

“Malah, pihak polis masih mengalu-alukan segala maklumat dan petunjuk baru daripada saksi-saksi kejadian ini sejak dia dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu sehingga dia ditemui meninggal dunia pada malam 6 Disember lalu,” katanya.

Zayn Rayyan ditemui mati di kawasan anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, sekitar jam 10 malam.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan Zayn mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.

Setakat ini seramai 225 individu sudah dirakam percakapan selain 248 sampel DNA milik penduduk dan orang terdekat diambil bagi tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button