Kes Covid-19 dijangka meningkat semasa Krismas
Peningkatan kes itu juga sudah dapat dilihat sejak kebelakangan ini, namun ia tidak membabitkan kes berisiko tinggi.

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes COVID-19 berikutan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.
Berikutan itu, Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata peningkatan kes itu juga sudah dapat dilihat sejak kebelakangan ini, namun ia tidak membabitkan kes berisiko tinggi.
“Kita jangkakan pada musim perayaan ini akan berdepan dengan peningkatan kes COVID-19, kerana ketika itu berlakunya kunjung-mengunjung ke rumah keluarga dan saudara mara. Mungkin ada peningkatan sedikit.
“Jadi, kita menasihatkan supaya rakyat mengambil langkah seperti sebelum ini. Sekiranya ada gejala jumpa doktor untuk saringan. Sekiranya positif, lakukan pengasingan kendiri dalam tempoh lima hari.
“Selain itu jika ke tempat sesak, walaupun kini tidak diwajibkan, namun kita galakkan untuk memakain pelitup muka selain menjaga kebersihan diri seperti kerap membersihkan tangan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Flag Off Mobiliasasi Madani Afiat dan Ujian Saringan Kesihatan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan negara melaporkan peningkatan 3,626 kes COVID-19 atau 57.3 peratus dalam tempoh seminggu dari 19 November hingga 25 November lalu berbanding 2,305 kes yang dilaporkan pada 12 November hingga 18 November lalu.
Katanya, sebanyak 48 peratus daripada jumlah kes itu terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 tahun hingga 40 tahun namun lebih 98 peratus bergejala ringan.
Dr Muhammad Radzi menambah, sebanyak empat varian Omicron baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 sebanyak 28,102 kes.
“Kes berkenaan dikesan melalui saringan gejala yang dijalankan di klinik kesihatan. Kedua-dua kes tidak mempunyai sejarah ke luar negara dalam tempoh 14 hari sebelum gejala. Mereka dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil,” katanya. — Berita Harian