Kes Covid-19 meningkat, Melaka tunggu arahan wajib pakai pelitup muka
Setakat ini saranan pemakaian pelitup muka telahpun dikeluarkan kepada semua warga sekolah

MELAKA 15 Dis – Melaka sedang menunggu sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan pengawalan penularan Covid-19 termasuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka kepada golongan pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini saranan pemakaian pelitup muka telahpun dikeluarkan kepada semua warga sekolah.
“Kita sedang tunggu arahan dari KKM namun oleh kerana penularan Covid-19 yang semakin meningkat, jadi kita galakkan pelajar sekolah dan jemaah pakai pelitup muka.
“Saya tengok pun sekarang dah mula ramai kembali pakai pelitup muka kerana risau peningkatan kes walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) wajib berbuat demikian dikeluarkan KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini, hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Melaka mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 534 kes direkodkan pada minggu Epidemiologi 48 (ME48) 2 Disember lalu berbanding minggu sebelumnya iaitu 268 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini adalah 152,975 kes, manakala kes sembuh direkodkan sebanyak 151,299 kes.
Katanya, kira-kira 458 kes aktif sedang menerima rawatan dan satu kluster aktif dilaporkan iaitu Kluster Paya Rumput Jaya.
“Ia merupakan kluster pendidikan dan dijangka tamat pada 25 Disember depan,” katanya. – KOSMO