Berita

Kes rasuah ahli patologi: 33 polis kena siasatan tatatertib

Mereka yang terlibat telah dipindahkan tempat kerja, supaya tidak lagi melakukan penugasan yang sama sehingga siasatan selesai

BATU PAHAT 10 Jan – Polis Johor membuka kertas siasatan tatatertib terhadap sebahagian daripada 33 pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan ahli patologi di sebuah hospital di negeri itu.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata mereka yang terlibat telah dipindahkan tempat kerja, supaya tidak lagi melakukan penugasan yang sama sehingga siasatan selesai.

“Mereka yang dipercayai terlibat ini ada yang masih berkhidmat, ada yang dah bertukar dan ada yang sudah pencen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Sri Gading.

Beliau berkata pihaknya memberi kerjasama penuh dan sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan berhubung kes itu.

SPRM sebelum ini menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital yang disyaki merasuah ahli patologi di sebuah hospital di negeri ini berhubung keputusan ujian saringan air kencing.

Penahanan dibuat susulan wujud persoalan berhubung ratusan kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran perbuatan ahli patologi itu.

Beberapa media sebelum ini melaporkan hasil siasatan SPRM mendapati 33 pegawai dan penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh daerah di Johor dipercayai terbabit bersama ahli patologi itu sejak 2018. – Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button