Kes tipu umrah meningkat babit kerugian RM9 juta
Motac mencadangkan kaedah penggredan diberikan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah

PUTRAJAYA 21 Nov – Penipuan umrah di negara ini semakin meningkat tahun ini dengan ia merekodkan kerugian kira-kira RM9 juta sehingga kini.
Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (Motac) Roslan Mohammad mendedahkan, jumlah penipuan direkodkan meningkat tiga kali ganda berbanding 2022 dengan 62 kes dilaporkan kepada polis membabitkan kerugian RM2.1 juta.
Roslan berkata, jumlah kerugian itu tidak termasuk yang direkodkan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) iaitu kira-kira RM7.08 juta daripada 355 kes yang dilaporkan.
Menurut Roslan, bagi menangani masalah ini, Motac mencadangkan kaedah penggredan diberikan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah.
Kaedah ini dijangka diperkenalkan tahun depan seperti mana dilakukan oleh pihak hotel bagi memberikan penarafan ke atas kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
“Penggredan ini bagi memastikan setiap agensi yang menerima penarafan dapat menjalankan perkhidmatan dengan lebih baik, selain memudahkan orang ramai membuat penilaian terhadap agensi berkaitan.
“Cadangan penarafan ini sudah dibincangkan dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bertujuan meminimumkan risiko penipuan dihadapi orang ramai,” katanya dalam ucapan sempena Hari Umrah Malaysia di Cyberjaya, baru-baru ini.
Roslan berkata, Motac berdepan kesukaran untuk membanteras sindiket penipuan umrah kerana ada syarikat yang tidak didaftarkan di bahagian pelesenan.
Namun, pihaknya yakin usaha ini dapat meminimumkan penipuan dalam kalangan masyarakat.
“Motac turut mengenal-pasti 531 agensi pengurusan umrah di peringkat ibu pejabat dan 394 di peringkat cawangan yang mana sebahagian besarnya adalah ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh).
“Daripada jumlah itu, 245 agensi dalam pemantauan Motac dan ada juga agensi yang disenarai hitam hasil aduan awam.
“Selain cadangan penarafan, Motac juga menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab umrah bagi jemaah Islam dari Asia Tenggara,” katanya.
Roslan menambah, inisiatif ini dianggap dapat merancakkan industri pelancongan negara secara keseluruhannya dengan menawarkan pakej ‘Muslim Friendly’ selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global.
“Motac yakin, usaha ini dapat mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi dalam memfokuskan hab transit pilihan bagi jemaah umrah yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk ke Tanah Suci Makkah,” katanya. – Xklusif