Kes Zayn Rayyan: Tangkapan suspek berkaitan analisa diterima polis
Proses trigulasi sedang dilakukan dalam mencari bahan bukti dan petunjuk baru dalam kes tersebut

SHAH ALAM 10 Jan – Penangkapan terhadap mana-mana suspek berkaitan kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah bergantung kepada analisa yang akan diterima oleh polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, proses trigulasi sedang dilakukan dalam mencari bahan bukti dan petunjuk baru dalam kes tersebut.
“(Ada potensi suspek ditangkap) semuanya bergantung kepada maklumat dan analisa yang kita terima lebih awal dan yang akan diterima atau telah terima.
“Itu akan menentukan sama ada seseorang itu boleh ditahan dan cukup bukti untuk menahannya,” katanya pada sidang akhbar di di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Beliau menegaskan, polis tidak akan berhenti berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut sehingga penjenayahnya dihadapkan ke muka keadilan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas semua input yang diberikan. Kami juga menilai maklumat ini kerana ia memberi kami beberapa perspektif awam yang kami fikir patut diteliti.
“Sama seperti orang awam, pegawai saya juga terkesan dengan kes itu. Mereka sangat bermotivasi, sehingga hari ini mereka masih berada di lapangan, cuba memproses segala-galanya di bawah pimpinan ketua polis Selangor.
“Tetapi biarlah saya katakan ini, Kami tidak berhenti, dan kami tidak akan berhenti. Kami telah berusaha, dan sebagai umat Islam, marilah kita berdoa bersama-sama. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan semoga orang yang melakukan jenayah keji ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, polis akan menggunakan maklumat risikan yang sedia ada bagi memulakan tangkapan terhadap individu yang mempunyai kebarangkalian tinggi suspek kes pembunuhan Zayn Rayyan.
Siasatan kes tersebut yang sudah mencapai 90 peratus membabitkan segala jenis bentuk siasatan termasuk saintifik dan konvensional. – Xklusif