Berita

Ketua Hakim Negara tegur mahkamah rendah

Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan mahkamah rendah supaya mematuhi duluan yang ditetapkan oleh mahkamah lebih tinggi

PUTRAJAYA 16 Jan – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan mahkamah rendah supaya mematuhi duluan yang ditetapkan oleh mahkamah lebih tinggi.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan, selaku mahkamah tertinggi, juga perlu ingat bahawa ia tidak boleh dengan mudah menyimpang daripada duluan terutamanya jika ia sesuatu autoriti diputuskan sebelum ini, dipersoalkan tidak berapa lama selepas ia ditetapkan.

“Mahkamah Persekutuan perlu konsisten kerana ia memberi kesan kepada orang awam yang mengaturkan hal ehwal mereka berdasarkan perundangan yang jelas dan pasti. Dalam hal ini, pandangan peribadi seseorang hakim tidak relevan atas prinsip ‘stare decisis’, iaitu mematuhi perkara yang diputuskan.

“Walaupun, sekiranya seseorang hakim atau mahkamah percaya sesuatu keputusan oleh mahkamah lebih tinggi adalah salah, beliau perlu mematuhinya,” kata Tengku Maimun ketika menyampaikan ucapannya pada Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Menurut Tengku Maimun sesetengah konsep seperti Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan telah diterima buat sekian lama dalam kerangka undang-undang negara.

“Sementara hakim-hakim boleh mengutarakan pendapat berbeza mengenai ciri-ciri teras berdasarkan kes-kes yang di bawa ke hadapan mereka, saya berfikir hakim-hakim tidak sesuai untuk mempertikaikan kewujudan konsep itu sendiri.

Dalam hal ini ‘stare decisis’ tidak hanya perlu dipatuhi hakim-hakim tetapi semua pegawai dalam mahkamah. Ini termasuk peguambela daripada Badan Peguam Negara dan perkhidmatan awam,” katanya.

Tengku Maimun berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau mendapati terdapat satu trend daripada minoriti peguam bela kedua-dua pihak yang memetik kes-kes tanpa menyatakan bahawa kes atau prinsip yang dipetik mereka telah ditolak.

Pada masa lain, peguam bela ini memajukan cadangan yang tidak dapat dipertahankan berpunca daripada penafsiran kes-kes awal secara terpilih, tidak jujur dan tidak adil. Pelanggaran ini berlaku dalam hampir semua kes tetapi ia paling ketara apabila membabitkan kes perlembagaan.

“Dalam sebarang acara, apabila ia berlaku, ia mengelirukan hakim kerana cadangan tertentu kelihatan lebih meyakinkan daripada sepatutnya kerana ia disampaikan secara terpilih tetapi tidak secara jujur.

“Lazimnya peguam bela, terutamanya yang kanan, tahu bahawa ini bukannya standard dan sikap berterus terang dalam etika profesional yang diharapkan kepada mereka dan oleh kerana itu amalan ini perlu dihentikan,” kata beliau.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, Badan Kehakiman Malaysia memuji kerajaan kerana memperuntukkan dana untuk melengkapkan Mahkamah Pembinaan dan Mahkamah Komersial Kuala Lumpur sebelum ini.

“Kami dengan rendah hati mengajak kerajaan supaya mempertimbangkan untuk menambah pembiayaan bagi mahkamah ini terutamanya terhadap idea untuk mempertingkatkan struktur mahkamah seperti itu supaya mereka boleh terus bersaing dan kekal setara dengan standard antarabangsa dan mahkamah komersial antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button