Ketua Pengarah baharu kongsi visi pastikan Maritim Malaysia terus cemerlang
Bina budaya kepimpinan, akauntabiliti, integriti dan saling menghormati merupakan visi yang dibawa oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah dalam memacu Agensi ini.
Tambah beliau, sikap berkenaan juga perlu ditonjolkan oleh warga Maritim Malaysia di semua peringkat melalui kapasiti dan peranan masing-masing berpandukan kepada Tujuh Teras Pemerkasaan Maritim Malaysia yang menjadi tonggak utama dalam mewujudkan reformasi Agensi ini sepanjang dalam kepimpinan beliau.
Antara Tujuh Teras yang disebutkan adalah Kepimpinan Proaktif dan Inklusif, Taat Setia, Pembangunan Modal Insan dan Organisasi, Pengukuhan Tatakelola, Kesiapsiagaan Aset, Penggunaan Teknologi Terkini, dan Pengukuhan Jalinan Kerjasama.
Selaku Ketua Pengarah baharu, beliau turut komited akan memastikan segala sumber, latihan serta keperluan Agensi ini akan diusahakan dalam memastikan Maritim Malaysia terus cemerlang seiring visi Agensi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim yang terbaik di dunia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Amanat Ketua Pengarah Maritim Malaysia di sini pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Tuan Mohd Norzam bin Mustapa serta pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Mohd Rosli juga menegaskan, semua pegawai dan anggota perlu menjadi sebuah pasukan yang sentiasa bersedia, profesionalisme, berkemahiran serta mempunyai komitmen yang teguh bagi melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.
Beliau turut menekankan mengenai kepentingan pemerkasaan operasi berikutan cabaran yang semakin dinamik dihadapi pihak Agensi seperti isu pencerobohan, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dadah dan kontraban serta banyak lagi.
Justeru, Mohd Rosli pada ucapan yang sama turut menyatakan komitmen beliau untuk memperkukuhkan dan memodenkan aset – aset Maritim Malaysia melalui projek perolehan yang telah dirancang seperti Kapal MPMS (Multipurpose Mission Ship), Kapal Ex USCG Cutter serta empat buah helikopter AW189.
Namun kata beliau, pegawai dan anggota Maritim Malaysia tidak boleh mengharapkan kecanggihan aset semata-mata tetapi perlu menyesuaikan diri, berinovasi dan memiliki perkembangan modal insan dalam menjalankan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan.
Dalam pada itu, Mohd Rosli sekali lagi menyeru agar semua warga Maritim Malaysia dapat berkerja bersama-sama dengan beliau agar Agensi ini menjadi lebih kuat, utuh, digeruni seterusnya menjadi sebuah agensi yang dekat, diyakini dan dipercayai oleh masyarakat.
Terdahulu, Datuk Haji Mohd Rosli merakamkan penghargaan beliau kepada kepimpinan tertinggi negara diatas kepercayaan yang diberikan dengan melantik beliau sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ketujuh pada 17 September lalu.