Ketua Pengarah Maritim Malaysia rasmi Kembara Akrab MADANI KDN
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli bin Abdullah merasmikan Program Aspirasi Budaya Kerja Siri 4: Kembara Akrab MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2024 di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum konvoi berangkat ke lokasi program yang akan berlangsung di Kampung Pulau Aman, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, semalam.
Program tiga hari dua malam itu akan bermula pada 25 hingga 28 September 2024 dengan menyasarkan penduduk tempatan sekitar Kampung Pulau Aman dalam usaha memperkasakan modal insan melalui pendekatan psikologi di samping mewujudkan jalinan kerjasama antara pegawai awam dan masyarakat setempat seterusnya menjadi platform bagi aktiviti kemasyarakatan yang akan dijalankan.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, masyarakat akan didedahkan mengenai taklimat keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), ceramah perdana mengenai Jiwa Merdeka oleh Pengerusi AKRAB, KDN, ceramah keagamaan dan integriti berkaitan kerja, selain kunjungan kasih bersama penduduk kampung, aktiviti gotong-royong dan sukaneka serta pameran kesedaran dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai pengisian acara.
Sempena program tersebut Datuk Hj Mohd Rosli turut berkesudian menampal pelekat pada kereta jabatan yang menyertai konvoi berkenaan sebagai simbolik acara.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Kanan, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Maritim Malaysia, Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh, wakil daripada KDN serta agensi di bawah Kementerian ini.
Untuk rekod, acara ini merupakan program keempat secara tahunan yang dianjurkan oleh KDN dengan melibatkan setiap jabatan dan agensi di bawah KDN.