Hiburan

Khaty cedera, kemalangan di Beaufort

Penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.28 petang itu, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki Khadijah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu, di sini.

Selain Khadijah, turut cedera dalam kenderaan pikap terbabit ialah Baharuddin Hassan, 70 dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.

Bagaimanapun, keadaan penyanyi berkenaan dilaporkan baik dengan ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan anggota bomba yang dikejarkan untuk membantu mangsa.

Khadijah yang dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan dipercayai memandu kenderaan terbabit.

Beliau juga sempat memaklumkan kepada anggota bomba dan polis yang tiba di lokasi kejadian mengenai konsertnya yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 1 November ini.

Selain itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Avanza yang dikenali sebagai Liaw Lee Jin, 30 dan Fong Pak Man, 60 juga dilapor cedera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.29 petang tadi.

Sejurus selepas itu, katanya seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi bersama jentera yang diketuai PBK II Irwan Abdul selaku Komander Operasi dan tiba pada jam 5.34 petang.

“Selepas tiba, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, iaitu kereta Toyota Hilux bertembung dengan kereta Toyota Avanza.

“Terdapat lima orang mangsa terlibat dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian.

“Dua mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga orang mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi berakhir pada jam 6.10 petang.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button