Sukan

Kim Pan Gon puji aksi Harimau Malaya

Harimau Malaya menewaskan India, 4-2 dalam saingan Pestabola Merdeka 2023.

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memuji aksi bertenaga anak buahnya untuk ke final Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan India 4-2, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Jumaat malam.

Pan Gon berkata, beliau merasa kagum dengan aksi pemainnya kerana mereka seolah-olah tidak mahu berhenti dan terus berlari sepanjang perlawanan untuk menundukkan India di hadapan 46,150 penonton.

“Saya sangat gembira untuk mengalahkan pasukan dengan ranking lebih tinggi seperti India (ranking ke-102).

Saya faham Pestabola Merdeka amat bermakna kepada mereka (rakyat Malaysia).

“Pemain-pemain terus berlari dan berjuang untuk negara dan keluarga mereka.

Saya amat bangga dengan anak-anak buah saya kerana kami sedar bahawa kami berada di ranking ke-134 dalam dunia,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.

Jurulatih dari Korea Selatan itu juga gembira dengan aksi barisan penyerangnya kerana mereka boleh menjaringkan sehingga lima gol dalam pembukaan perlawanan babak pertama.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, sungguhpun beliau mengarahkan pemainnya untuk mempersembahkan permainan yang menghiburkan untuk penyokong tuan rumah, beliau bersetuju serangan mereka telah membuka ruang benteng pertahanan yang mengakibatkan dua gol mudah satu di setiap babak, daripada pasukan pelawat.

“Kami mempunyai masalah di benteng pertahanan, jika kami tidak mengambil risiko perlawanan mungkin jadi seri 0-0.

Kalau anda mahukan mereka tidak melepaskan sebarang gol, saya boleh memadatkan benteng pertahanan tetapi kami mahukan perlawanan yang menghiburkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih India, Igor Stimac berkata, perlawanan malam tadi adalah menarik biarpun berlangsung di atas padang yang tidak baik.

Beliau juga merungut mengenai beberapa isu yang dihadapi mereka dalam pembukaan pertandingan ikon itu seperti bas lewat tiba dan keadaan padang untuk mereka berlatih yang tidak baik.

Mengenai gol pemain tengahnya Lallianzuala Chhangte pada minit ke-56 yang tidak dikira, bekas pemain West Ham United itu enggan mengulas keputusan kontroversi pengadil Mongkolchai Pechhri biarpun bola telah melepasi garisan sebelum dikeluarkan pemain pertahanan tengah negara, Dion Cools.

Pada masa sama, Stimac mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana layak ke final dan menzahirkan kekagumannya terhadap sokongan hebat peminat tuan rumah di Stadium Nasional.

Malaysia akan bertemu Tajikistan dalam perlawanan akhir Selasa ini selepas pasukan pelawat mendapat bai selepas pasukan Palestin menarik diri berikutan susulan suasana tegang di tanah air mereka masa ini. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button