Berita

Kit Siang beri 48 jam kepada Hadi Awang

Jika gagal mengemukakan bukti itu, Abdul Hadi dituntut menarik balik kenyataannya yang sebelum ini mendakwa DAP dan Kit Siang sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-institusi raja, komunis dan menyebarkan Islamofobia

KUALA LUMPUR 8 Nov – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, diberi tempoh 48 jam untuk mengemukakan bukti kenyataannya yang mendakwa DAP dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang, bersikap anti-Islam.

Jika gagal mengemukakan bukti itu, Abdul Hadi dituntut menarik balik kenyataannya yang sebelum ini mendakwa DAP dan Kit Siang sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-institusi raja, komunis dan menyebarkan Islamofobia.

Kit Siang berkata, jika gagal menarik balik kenyataan itu, beliau akan mempertimbangkan langkah mengheret Abdul Hadi ke mahkamah kerana memfitnah.

“Kejadian membabitkan Siti Mastura (Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad) telah memberi perspektif baharu kepada dakwaan liar dan tidak masuk akal oleh Abdul Hadi terhadap DAP.

“Bagaimanakah pemimpin lain parti politik itu boleh berbeza daripada presidennya yang membuat dakwaan liar dan tidak masuk akal tanpa sedikit bukti?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Siti Mastura dilaporkan turut mendakwa Kit Siang adalah sepupu dengan bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, dan bekas pemimpin komunis, mendiang Chin Peng.

Susulan kejadian itu, anak Kit Siang, Lim Guan Eng, memberi tempoh 48 jam kepada wakil rakyat PAS itu untuk membuktikan dakwaannya, dengan tempoh berakhir esok.

Guan Eng mendakwa, Siti Mastura membuat dakwaan itu terhadap dirinya dan bapanya, Kit Siang, serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan beberapa pemimpin DAP iaitu Nga Kor Ming, Teresa Kok dan Ngeh Koo Ham, ketika perhimpunan jentera PAS Kemaman di Terengganu pada Sabtu.

Sementara itu dalam Persidangan Dewan Rakyat semalam, Siti Mastura enggan memberikan ruang kepada beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang cuba mencelah bertanyakan mengenai tuduhan yang dilemparkan itu.

Ketika menyertai sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, Siti Mastura diasak empat pemimpin DAP iaitu Wong Shu Qi (PH-Kluang), Teresa Kok (PH-Seputeh), Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung perkara itu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button