KJ kutuk kenyataan Ramanan

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kenyataan ahli Parlimen PKR Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan yang membandingkan hak mengundi bagi golongan muda dengan kebenaran merokok mendapat kritikan ramai.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi akaun Instagram miliknya turut memetik kenyataan Ramanan yang berkata, belia dibenarkan mengundi, tetapi tidak dibenarkan merokok.
Khairy yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 turut mengecam kenyataan Ramanan.
“Saya sepatutnya sudah tendang punggung anda,” katanya.
Untuk rekod, Rang undang-undang itu kini dikenali sebagai Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 dan akan dibentangkan di Parlimen pada 12 Jun depan.
Sementara itu, Ramanan ketika ditemui di Parlimen pada semalam secara terbuka membantah rang undang-undang itu dan berkata ia akan menindas hak rakyat untuk memilih.
“Saya tidak mengatakan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk membenarkan generasi muda merokok, tetapi ia harus menjadi pilihan untuk mereka. Bukan sesuatu untuk kita ambil (hak mereka),” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata, kerajaan malah mendesak untuk memberi hak kepada generasi muda untuk mengundi pada usia 18 tahun, tetapi melarang mereka membuat pilihan sendiri dalam hal merokok.
“Anda memberi kuasa kepada remaja berusia 18 tahun untuk menentukan nasib, masa depan dan kerajaan negara ini, tetapi anda tidak merasakan mereka cukup bertanggungjawab untuk memutuskan sama ada mereka mahu merokok,” katanya.
Terdahulu, ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas Khairy kerana menuduhnya sebagai “musuh kesihatan awam”.
Bung berkata, beliau akan mendedahkan apa yang Khairy “hisap” di Parlimen minggu depan, apabila rang undang-undang itu dibentangkan.
Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk membentangkan rang undang-undang itu, yang akan merangkumi peruntukan larangan merokok bagi golongan muda.
Versi pertama rang undang-undang itu pertama kali dibentangkan di Parlimen pada Julai tahun lalu, ketika Khairy menjadi menteri kesihatan.
Ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen selepas rang undang-undang itu mendapat kritikan kerana “terlalu keras”. — NST