KJ masih tak puas hati – Fahmi
Fahmi Fadzil menepis dakwaan beliau gagal melaksanakan tugas menteri komunikasi dan digital (KKD) menyebabkan kementerian itu diasingkan
KUALA LUMPUR 17 Dis – Fahmi Fadzil menepis dakwaan beliau gagal melaksanakan tugas menteri komunikasi dan digital (KKD) menyebabkan kementerian itu diasingkan selepas berlaku rombakan Jemaah Menteri.
Beliau turut menyindir Khairy Jamaluddin dengan berkata “KJ masih tidak puas hati” selepas bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa langkah kerajaan memisahkan KKD hanya bertujuan “menyimpan” Fahmi.
Khairy dalam podcast Keluar Sekejap Jumaat lalu berkata, KKD dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak sewajarnya dipisahkan tetapi ia berlaku disebabkan faktor politik.
Fahmi ketika ini menggalas tugas menteri komunikasi membidas kenyataan itu dengan berkata, pengasingan bagi memberi fokus kepada semua aspek dalam ekonomi digital dan terdapat juga keperluan dalam NRECC menyebabkan kementerian diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad diasingkan.
“Ada beberapa pihak tuduh Fahmi Fadzil gagal melaksanakan tugas sebagai menteri KKD maka dipecahkan (menjadi dua kementerian) untuk nak selamatkan nyawa politik saya, sebenarnya tak betul.
“…bukan isu Fahmi Fadzil lemah atau tidak tapi ekonomi digital tu terlalu penting, dijangkakan sumbangan ekonomi digital melalui KDNK pada 2025 mencecah 25.5% atau satu per empat dari KDNK kita,” katanya selepas Program Renew: Reuse, Educate, Nurture and Empower with Waste di Taman Bukit Angkasa.
Fahmi berkata, keputusan mengasingkan kementerian itu dibuat selepas perbincangan bersama pasukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mendapati terdapat keperluan hal ehwal digital ditumpukan dalam satu kementerian.
Beliau menjelaskan, sebelum ini pihak industri turut menyatakan kegusaran apabila terdapat empat kementerian berbeza yang mengusahakan isu sama.
Katanya, susulan itu perkara tersebut disampaikan kepada pasukan perdana menteri termasuk mencadangkan semua agensi terbabit diletakkan bawah satu kementerian khusus.
Rombakan Jemaah Menteri minggu lalu menyaksikan KKD dipecahkan kepada dua iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Kementerian Digital kini diterajui bekas menteri komunikasi dan multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Damansara.
NRECC dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam diterajui Fadillah Yusof serta Nik Nazmi mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Ada pihak yang menuduh kelemahan, adakah tu bermaksud Nik Nazmi lemah, kementerian dia dipecahkan, tidak juga tapi ada keperluan bagi fokus beberapa perkara tertentu maka diasingkan.
“Yang penting jumlah menteri dan timbalan menteri jauh lebih rendah berbanding kerajaan terdahulu,” kata Fahmi. – FMT