KKM buka permohonan untuk pegawai perubatan ke Gaza
Kesemua yang terpilih akan menjadi sukarelawan di Semenanjung Gaza.

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) membuka permohonan kepada mana-mana pegawai perubatan yang bersedia untuk dimobilisasi sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, permohonan untuk itu dibuka secara dalam talian yang mana sukarelawan terbabit akan dihantar sebaik sahaja kebenaran memasuki negara bergolak itu diberikan.
Beliau berkata, mana-mana pegawai dan anggota KKM yang berhasrat ke Gaza akan menjalani latihan bagi mempersiapkan mereka dari segi kekuatan mental serta fizikal.
“Kita sudah buka permohonan secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia dihantar ke sana.
“Kita juga akan melaksanakan latihan (kepada pemohon), tetapi berapa jumlah (yang sudah memohon) itu saya tak ada data ketika ini,” katanya menjawab soalan media mengenai kesediaan KKM menghantar sukarelawan ke Gaza selepas menyempurnakan Hari Integriti KKM di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Dr Zaliha berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu perkembangan lanjut mengenai keadaan di Semenanjung Gaza daripada pihak di negara bergolak itu.
“Kita bekerja rapat bersama pasukan seperti Palang Merah di sana, manakala di sini kita bekerja dengan MERCY. Jadi itu persediaan di peringkat kami,” katanya. — Berita Harian