
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan dua kes baharu jangkitan cacar monyet (mpox) setakat hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah dan berada dalam kesihatan yang stabil.
Jelas beliau, kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.
“Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenalpasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox.
“Status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Radzi berkata, dua kes tersebut menjadikan keseluruhan kes moox setakat ini menjadi empat kes.
Katanya, kedua-dua kes baharu itu tiada hubungkait dengan kes pertama dan kes kedua yang dilaporkan sebelum ini pada Julai 2023.
“Kes ketiga positif jangkitan mpox disahkan pada 21 Oktober 2023, melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober 2023.
“Kes keempat adalah seorang lelaki warga tempatan merupakan kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Oktober 2023. Beliau turut menunjukkan gejala yang sama pada 6 Oktober 2023,” katanya.
Muhammad Radzi menambah, semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenalpasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox.
Beliau turut menasihatkan semua pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Katanya, sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.
“Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.
“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan,” katanya. — Xklusif