Komitmen Penuhi Aspirasi Pengundi, BN Ikrar Terus Majukan Tapah

TAPAH, Nov 18 – – Di ambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan kegigihan dan komitmen tinggi oleh calon Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dalam merealisasikan aspirasi pengundi di Parlimen ini.
Sepanjang tempoh berkempen bermula 5 November lalu, kempen dilaksanakan dengan aman, teratur dan berdisiplin malah sebahagian besar penduduk Tapah menerima baik figura ini apatah lagi trek rekod yang ditunjukkan selama tiga penggal sebelum ini tidak pernah mengecewakan.
“Saya telah bertemu sebahagian besar pengundi Tapah, hadir ceramah dengan memberi penekanan terhadap apa yang telah kita lakukan selama ini, saya gembira setiap kampung menerima Barisan Nasional (BN) dengan baik dan mereka sedar sumbangan kita terhadap pembangunan di sini.
“Mereka juga sungguh berpuas hati dengan pembangunan modal insan di parlimen Tapah melalui bidang pendidikan dan latihan kemahiran. Ini satu suasana yang cukup baik dan inilah contoh ada sumbangan kita khususnya di kawasan penempatan,” katanya.
Menurut Saravanan, beliau menyedari satu perkara penting iaitu jika kita melaksanakan tugas dengan baik sebagai wakil rakyat, musim PRU tidak akan ada apa-apa masalah untuk masuk mana-mana kampung untuk berkempen.
Baginya, semuanya jelas apabila beliau turun padang masuk ke kampung atau kawasan perumahan termasuk perkampungan Orang Asli, beliau dan jentera BN telah diterima dan disambut baik sekaligus menunjukkan bahawa mereka melihat apa yang BN telah sumbangkan selama ini.
“Saya lihat kali ini sambutan begitu baik dari pengundi parlimen Tapah dan cara mereka menerima kami juga jelas dan menambah keyakinan kami bahawa Tapah akan kekal sebagai kubu kuat BN.
“Dari segi pembangunan, saya sebagai wakil rakyat selama tiga penggal sudah menjalankan tanggungjawab khususnya dari segi pendidikan.
“Walaupun Tapah berada di luar bandar, tetapi dari segi melahirkan modal insan yang kompeten, kita sudah ada persiapan dari pra sekolah hingga peringkat universiti bagi melahirkan golongan yang berjaya dalam akademik,” katanya
Bagaimanapun, golongan tercicir tidak pernah dilupakan termasuk sebahagian besar daripada kira-kira 9,000 pengundi Orang Asli di Tapah yang tercicir dari arus pendidikan.
Maka, katanya bidang kemahiran antara inisiatif BN bagi membantu golongan ini menerusi peluang latihan kemahiran (TVET) dan sebagainya untuk golongan tercicir akademik.
Kini, cabaran baru buat Menteri Sumber Manusia itu apabila penambahan populasi Tapah iaitu daripada 35,000 pengundi kepada 62,000 pengundi kini mengundang isu yang tidak dapat dielakkan antaranya kesesakan lalu lintas yang kritikal dan isu perumahan mampu milik.
“Saya telah pun mengambil langkah melalui Kementerian Kerja Raya untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas melalui penyuraian trafik, serta keperluan menambah program rumah mampu milik untuk warga Tapah. Walaupun sudah ada program Rumah Prima di Tapah, ia masih tidak mencukupi untuk menampung penambahan populasi di parlimen ini.
“Maka, untuk tempoh lima tahun akan datang, selain pembangunan infrastruktur, saya akan menumpukan dua cabaran utama iaitu penyuraian trafik dan program perumahan mampu milik untuk warga Tapah,” katanya.