BeritaEkonomi

Komponen pesawat, peluru antara e-waste yang dirampas dari kilang di Johor

Polis Johor merampas e-waste bernilai RM23.8 juta dalam serbuan ke atas sebuah kilang pemprosesan haram di Kota Tinggi, petang semalam.

E-waste yang dirampas termasuk komponen pesawat daripada sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, serta baldi berisi peluru dan kelongsong peluru, lapor Berita Harian.

Berdasarkan maklumat risikan, seramai 20 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah menyerbu premis di Jalan Lombong sekitar jam 4 petang, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, seorang warga China berusia sekitar 50-an serta sepasang suami isteri dari Myanmar berusia 24 dan 23 tahun turut ditahan.

“Polis telah merampas 75 guni komponen elektronik seberat 46,214kg, sembilan guni aluminium dan plastik (514kg), 66 pek komponen elektronik (103,983kg), serta 18 pek wayar elektrik (22,791kg).

“Turut dirampas ialah 166 guni tembaga (369,954kg), 62 tong sisa logam (29,085kg), 43 gelung besi, dan 10 tong berisi bebola timah serta serbuk besi.

“Polis juga merampas tujuh baldi kelongsong peluru dan satu baldi berisi peluru,” katanya.

Yusof turut memaklumkan bahawa komponen pesawat yang dirampas telah diserahkan kepada Majlis Daerah Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi secara haram selama lima bulan, dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti sumber e-waste yang dibawa masuk ke premis itu.

Artikel Berkaitan

Back to top button