Berita

Konsep MADANI inklusif, lindungi semua kaum – Anwar

Kerajaan MADANI akan melindungi orang ramai tanpa mengira latar belakang agama mereka.

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Semua masyarakat di negara ini harus menerima kenyataan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tanpa ada kewujudan sebarang prasangka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagaimanapun kerajaan MADANI akan melindungi orang ramai tanpa mengira latar belakang agama mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata sentimen yang mendakwa Kerajaan Perpaduan hanya eksklusif untuk Melayu dan Islam adalah tidak betul, sebaliknya MADANI adalah konsep inklusif yang bertujuan melindungi setiap kaum di negara ini.

“Kalau kita baca, kita tahu ia tidak eksklusif sebaliknya inklusif. Malah mesej disampaikan dalam al-Quran adalah jelas membabitkan pelbagai kaum, wilayah bahasa untuk hormat, kenal kasih sayang antara satu sama lain.

“Kita sebut wasatiyah, jangan terlalu terkait dengan pro atau anti… kita bersikap terbuka untuk belajar semua pengalaman. Mesej yang kita bawa ialah, marilah kita semua terbuka untuk belajar antara satu sama lain.

“Jangan ada syak wasangka dalam diri kita. Kita bukan anti-Cina atau India atau sesiapa kerana masing-masing ada agama sendiri,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata konsep MADANI adalah telus dengan sebarang bantuan diberikan membabitkan semua peringkat dan pihak.

“Kita tolong sekolah, semua jenis sekolah kita bantu…. kalau nak menokhtahkan kemiskinan, kita buat untuk semua.

“Laporan ini (sempena setahun) adalah bagi memahami dasar dan konsep serta melihat kenyataan pelaksanaan ini,” katanya. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button