Konsert KITA Bakar Semangat Lawan Budaya Buli Bakal Berlangsung Di ZEPP KL Disember Ini

Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 bakal menjadi pentas istimewa menguatkan semangat rakyat Malaysia dalam menentang fenomena buli yang kian meruncing dalam masyarakat pada masa kini. Dengan tema utama “Setiap kali kita diam, buli menang,” konsert ini adalah satu usaha bersama oleh Nusavue untuk membangkitkan keberanian, kasih sayang dan perpaduan melalui seni muzik.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 Disember 2025, jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur ini menghimpunkan pelbagai artis tempatan dari pelbagai genre muzik di bawah misi tunggal “Berani Bersuara, Bersama KITA”. Konsert ini bukan sahaja hiburan biasa, tetapi mengangkat muzik sebagai medium bagi perubahan sosial yang berimpak tinggi untuk meningkatkan kesedaran dan empati di kalangan masyarakat.

Menurut wakil Nusavue, buli bukan sahaja masalah yang terbatas di sekolah, malah ia mencerminkan masalah sosial yang lebih luas di negara kita. Fenomena buli kini wujud dalam pelbagai skala, termasuk di internet serta pergaulan masyarakat dan negara. Konsert KITA menyeru rakyat Malaysia supaya bangkit dan menyuarakan penentangan mereka terhadap segala bentuk kezaliman dan penindasan.
Acara ini menampilkan barisan artis tersohor seperti Datuk Ramli Sarip bersama Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie, serta Liza Aziz sebagai undangan khas. Gabungan nama-nama hebat ini melambangkan perpaduan rentas generasi dan genre muzik, membuktikan bahawa seni adalah jambatan utama untuk menyatukan dan memupuk kesedaran dalam rakyat tentang bahaya buli.
Selain artis dan penonton, konsert ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Yayasan Ikhlas, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Shah Alam, SULAM dan rakan-rakan media dan strategik lain. Sokongan ini menjadikan gerakan anti buli ini lebih kukuh dan menyeluruh di seluruh negara.

Tiket untuk Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 dibuka untuk pembelian mulai 14 Oktober 2025 melalui platform Ticket Empire dan laman web Nusavue. Dengan jangkaan sambutan hangat, orang ramai disarankan untuk membuat pembelian awal bagi memastikan tempat duduk mereka dalam konsert bersejarah ini.
Konsert ini bukan sekadar program muzik, sebaliknya satu gerakan nasional untuk membina keberanian dan semangat empati supaya tiada lagi individu yang berdiam diri apabila menghadapi sebarang bentuk buli. Melalui kekuatan seni dan suara, KITA membuktikan bahawa perubahan bermula apabila kita berani bersuara bersama-sama.








