Berita

Konsert Tik Tok pindah lokasi ke Batu Kawan, penganjur lega

Konsert berkenaan dijangka diadakan pada 30 September depan namun mendapat bantahan pelbagai pihak

GEORGE TOWN 25 Ogos – Penganjur Konsert Viral Lagu Tik Tok bersetuju untuk berpindah lokasi dari Dewan Millenium Kepala Batas ke Stadium Batu Kawan susulan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihak penganjur juga diminta berurusan dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan selanjutnya.

Konsert berkenaan dijangka diadakan pada 30 September depan namun mendapat bantahan pelbagai pihak.

“Saya difahamkan pihak penganjur pun telah bersetuju untuk pindah lokasi dan sekarang ini mereka boleh uruskan perkara tersebut dengan MBSP sebagai pihak yang mengeluarkan permit. Berkenaan tarikh saya tidak ada maklumat…ya konsert akan berpindah ke stadium Batu Kawan,” katanya.

Sementara itu, penganjur Konsert Viral Lagu TikTok, A.Jee Event Entertainment lega dengan penukaran lokasi asal konsert terbabit.

KONSERT

Pengarahnya, Mohd Hammali Mohammed Yusoff berkata, mereka bersyukur dan berterima kasih terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang atas keputusan yang dibuat.

“Alhamdulillah, perancangan kami untuk konsert ini dah lama dibuat. Memang kami perlukan viral tapi kami perlukan viral yang sihat, bukan kontroversi atau viral tidak sihat.

“Ini Konsert Viral Lagu TikTok pertama di Asia yang kami anjurkan merangkumi lagu-lagu yang viral dalam TikTok. Bila berlaku kontroversi, ia menambah dan mengurangkan juga apa yang kami rancang. Kami tidak inginkan sesuatu yang bersifat negatif untuk tujuan konsert ini,” katanya.

Menurutnya, sejak awal lagi pihaknya sudah membuat permohonan untuk menyewa Stadium Batu Kawan tetapi difahamkan ia bertembung dengan jadual perlawanan bola sepak.

“Kami memang perlukan tempat yang lebih besar kerana jangkaan kami melebihi 50,000 orang akan hadir pada konsert membabitkan gabungan artis Malaysia dan Indonesia ini.

“Apapun kami tak salahkan mana-mana pihak terutama orang ramai atau penduduk Kepala Batas. Mungkin mereka tidak faham apa yang nak kami tontonkan kepada masyarakat berkenaan konsert ini.

“Mungkin mereka salah faham dan tak dapat pemahaman yang tepat. Sebenarnya lagu-lagu TikTok ialah lagu yang dipopular atau diviralkan dalam TikTok seperti lagu Tiara, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Azizah dan banyak lagi,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri I , Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meminta MBSP membatalkan kelulusan Konsert Viral Lagu Tik Tok yang dijadualkan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas pada 30 September depan.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam berkata, konsert berkenaan telah mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia akan diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar surat bantahan untuk pertimbangan membatalkan konsert terbabit yang didapati tidak bersesuaian diadakan di kawasan berkenaan.

Isnin lalu, tular poster memaparkan beberapa artis tempatan dan Indonesia yang akan mengadakan Konsert Viral Lagu-Lagu Tik Tok Malaysia-Indonesia di Kepala Batas yang ia mendapat tentangan warganet dan penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

Difahamkan Datuk Bandar MBSP akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button