KOPETRO jalin kerjasama strategik dengan PETRONAS Lubricants, Gentari
KOPERASI Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) menerusi anak syarikatnya KOPETRO Trading memeterai kerjasama strategik bersama Gentari Renewables Sdn. Bhd dan KOPETRO Retail bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd.
Menurut Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim, kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran dua syarikat ini dalam memberikan perkhidmatan yang efisen kepada pelanggan.
Kerjasama dengan PETRONAS Lubricants Marketing memfokuskan untuk meneroka pasaran baru dalam memasarkan minyak pelincir di 950 stesen minyak di Malaysia.
Manakala kerjasama bersama Gentari Renewables bagi menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan lestari seperti tenaga solar sejajar dengan usaha global untuk mengawal impak perubahan iklim dan beralih kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
“Bermula bulan Julai ini, KOPETRO akan menjadi pengedar minyak pelincir terbesar di Malaysia.
“Bagi lima bulan kehadapan, jualan disasarkan RM20 juta dan dalam masa setahun mampu mencapai lebih RM50 juta” katanya.
Tambahnya lagi, KOPETRO terus bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi melalui pelan strategik Moving Forward 2026 – 2030 bagi mengubah kapasiti, keupayaan organisasi dan daya saing.
“Kami dalam proses memperkuatkan perniagaan sedia ada dan terbaru dengan kontrak jangka masa panjang yang kita dapat dari KOPETRO Trading dijangka pada akhir tahun 2025, perolehan yang mampu dicapai sehingga RM500 juta.
“Setakat ini penyumbang terbesar 40 peratus masih lagi perkhidamatan kewangan dimana kami berikan pembiayaan peribadi dan insurans dan disokong dengan KOPETRO Travel & Tours sebanyak 25 peratus, selebihnya dari sektor perkhidamatan makanan (F&B)” ujarnya lagi.
Roslan menambah, KOPETRO bakal meneroka bidang hartanah melalui KOPETRO Venture Sdn Bhd dan bekerjasama dengan syarikat pembinaan bagi projek perumahan di Sungai Buloh pada tahun 2025.
Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) mengumumkan prestasi kewangan yang sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM344 juta, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 2022, yang berjumlah sebanyak RM291 juta.
KOPETRO juga mengumumkan agihan dividen yuran tahunan sebanyak 5 peratus, modal syer sebanyak 6 peratus, dan syer bonus 2.5 peratus kepada lebih 15,000 Anggota Koperasi bagi tahun 2023.
KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai Koperasi ke-4 Terbaik di seluruh Malaysia.