Korea Utara rancang beri bantuan kepada Hamas
Minggu lalu, Duta Besar Israel ke Korea Selatan Akiva Tor berkata Tel Aviv tahu bahawa "senjata buatan Korea Utara sedang digunakan oleh Hamas"

ANKARA 2 Nov – Korea Utara merancang untuk memberikan bantuan kepada Hamas dalam perangnya terhadap Israel, dakwa agensi perisik Korea Selatan.
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) memberitahu jawatankuasa perisikan parlimen semasa sesi audit tertutup bahawa terdapat petanda bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un mengarahkan pegawai untuk membuat langkah-langkah memberikan bantuan komprehensif kepada Palestin.
Berita melaporkan, memetik Yoo Sang-bum, ahli parlimen dari Parti Kuasa Rakyat, Korea Utara dilihat cuba mengambil kesempatan daripada perang Israel-Hamas dalam pelbagai cara.
- Minggu lalu, Duta Besar Israel ke Korea Selatan Akiva Tor berkata Tel Aviv tahu bahawa “senjata buatan Korea Utara sedang digunakan oleh Hamas.”
Duta Korea Utara ke PBB, Kim Song, menolak laporan itu sebagai “khabar angin tidak berasas,” menuduh Washington cuba mengalihkan kesalahan perang di Timur Tengah kepada “negara ketiga.”
Menurut NIS, Pyongyang dipercayai berada di peringkat akhir persiapan untuk melaksanakan pelancaran satelit ketiganya berikutan dua percubaan gagal awal tahun ini.
Korea Utara dijadualkan untuk mencuba lagi pada bulan Oktober, bagaimanapun, tiada pelancaran sedemikian berlaku.
Menurut NIS, Pyongyang nampaknya telah menerima bantuan teknologi daripada sekutu lama Rusia, dan “kemungkinan kejayaan mungkin lebih tinggi.”
NIS mendakwa bahawa Korea Utara dipercayai telah menyediakan Rusia dengan lebih daripada 1 juta peluru artileri – cukup untuk dua bulan – dan senjata lain dalam 10 penghantaran sejak Ogos untuk membantu Moscow dengan perang di Ukraine. – Agensi