Politik

Kosongkan kerusi Parlimen jika sokong PM – Bersatu

Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin.

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman untuk mengosongkan kerusi yang disandangnya ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan yang dilakukan oleh Suhaili nyata menyalahi Akta Anti Lompat Parti yang diguna pakai di negara ini.

Katanya, pihak Bersatu akan memastikan Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengosongkan kerusi walau dengan apa cara sekali pun.

“Saya menyelar kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan yang mencabar parti untuk memecat beliau. Kami di Bersatu mencabar beliau untuk segera menggosongkan kerusi Parlimen Labuan.

“Bersatu mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.

“Kami akan menggerakkan apa saja cara dan kaedah di dalam lingkup perundangan dan politik bagi memastikan kerusi Parlimen Labuan dan Parlimen lain dapat dikosongkan.

“Ia seperti yang dimaktub di dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil di dalam tempoh terdekat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Afif pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan kepada beliau menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Beliau berjanji akan menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan hala tuju dan asas perjuangan parti, selain terus menjuarai isu rakyat terutamanya di dalam agenda membela kebajikan rakyat.

“Saya dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda terutamanya di kalangan profesional muda dan mahasiswa bagi memperjelaskan prinsip perjuangan parti dan memperkenalkan tokoh-tokoh pimpinan muda di dalam Bersatu kepada masyarakat.

“Inisiatif ini bermatlamat bagi mengalakkan lebih banyak penyertaan di kalangan profesional muda dan mahasiswa di dalam wadah perjuangan murni parti Bersatu,” katanya lagi. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button