Uncategorized

Kotak perakam suara kokpit hangus, Singapura bantu dapatkan data 30 minit terakhir

Kotak itu dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura untuk dianalisis

PUTRAJAYA 21 Ogos – Kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16 Khamis lalu, disahkan hangus terbakar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun CVR berkenaan sudah dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura semalam untuk dianalisis bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum terhempas.

“Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Bridge Jeneral Tan Chee Kee turut berada di sana bagi tujuan tersebut,” katanya selepas Majlis Semarak Merdeka di kementerian itu, hari ini.

Menurutnya, BSKU menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rakaman tersebut kerana CVR yang mengandungi “memory puck” berada dalam keadaan tidak sempurna.

“Apabila (CVR) dihantar ke makmal BSKU, (mereka) mendapati CVR terbabit rosak teruk di bahagian luarnya dan selepas itu kita mendapat tawaran bantuan teknikal daripada pihak Singapura.

“Pakar mereka datang ke Malaysia pada Jumaat lalu dan keesokannya berjaya membuka CVR serta mengeluarkan komponen ‘memory puck’.

“Memory puck’ itu didapati masih dalam keadaan baik, namun oleh kerana kita tidak ada peralatan untuk mendapatkan data dalam ‘memory puck’ itu, ia dihantar ke Singapura semalam,” katanya.

Loke berkata lagi, semua pihak diharap memberikan sedikit masa kepada pakar untuk mendapatkan data rakaman (suara dalam kokpit) terbabit.

KOTAK
Anthony menunjukkan keadaan CVR yang terbakar

“Ketika ini, pegawai BSKU yang mengetuai siasatan nahas terbabit, Brig Jen Tan Chee Kee dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), masih berada di Singapura bersama pakar lain untuk mendapatkan data rakaman suara berkenaan.

“Keadaan CVR itu yang tidak sempurna, jadi kita tidak boleh memberikan jangka masa yang tepat kerana ada isu teknikal yang perlu diatasi oleh pakar siasatan.

“Memang kita sedang cuba mendapatkan data terbabit…’memory puck’ sudah keluarkan dan kita perlu mendapatkan data berkenaan, setakat ni kita masih mencuba di makmal dekat Singapura,” katanya

Khamis lalu, seramai 10 lelaki disahkan terkorban selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam.

Lapan daripada yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, EXCO Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button