Berita

KPDN dedah 3 taktik ‘popular’ peniaga cuci duit haram di Malaysia

Modus operadi itu adalah dengan memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah

KUALA LUMPUR 11 Jan – Tiga modus operandi utama ‘popular’ dikesan digunakan peniaga bagi melakukan aktiviti jenayah pengubahan wang haram atau cuci duit haram di negara ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata, modus operasi itu dikesan hasil operasi dilaksanakan pasukannya dalam menguat kuasakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) sepanjang tahun lalu.

Katanya, modus operadi itu adalah dengan memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah.

Selain itu, mereka dikesan memasukkan wang haram ke dalam akaun perniagaan atau individu lain, mewujudkan ‘shell company’, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain secara berstruktur.

“Modus operandi ketiga adalah menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang membabitkan rentas sempadan,” katanya tadi.

Azman berkata, sepanjang tahun lalu juga, tindakan pembekuan harta alih dalam institusi kewangan dilaksanakan membabitkan nilai sebanyak RM21,217,979.11.

Jelasnya, tindakan penyitaan turut dibuat sepanjang tempoh berkenaan membabitkan RM1,043,601.77 harta alih dalam institusi kewangan, harta tak alih dengan nilai RM2,607,181.00 dan wang tunai sebanyak RM84,964.00.

“Ini menjadikan nilai penyitaan keseluruhan bagi tahun 2023 sebanyak RM3,735,746.77,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN berdepan beberapa cabaran dalam menguat kuasakan Akta 613 antaranya membabitkan penggunaan transaksi aktiviti haram secara tunai dan tidak melalui sistem perbankan atau menggunakan ‘mule account’.

Katanya, pembabitan badan profesional seperti akauntan dan setiausaha syarikat sebagai individu atau organisasi yang menyediakan perkhidmatan profesional membantu melakukan aktiviti pengubahan wang haram turut menjadi cabaran siasatan.

“Cabaran akan datang perlu dihadapi adalah penggunaan transaksi matawang kripto yang pelbagai dan ia bukan mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia.

“Oleh yang demikian, tindakan berterusan akan dilaksanakan oleh Seksyen Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Penguat kuasa KPDN untuk memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 dan memperolehi kembali hasil haram yang diperolehi di bawah undang-undang sedia ada bagi tujuan dijadikan hasil Kerajaan.

“Bahagian ini akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan perkongsian latihan, maklumat risikan dan operasi,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button