Berita

KPDN pantau sindiket jual minyak masak peket dalam talian

Unit khas juga ditubuhkan untuk pantau kegiatan penjualan minyak masak dalam talian.

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memantau rapat sindiket penipuan dalam talian yang menjual minyak masak peket.

Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam, berkata pihaknya menubuhkan unit khas untuk memantau kegiatan penjualan minyak masak dalam talian.

“Modus operandi sindiket penjualan minyak masak ini adalah memperdaya mangsa menerusi laman media sosial atau pasar dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

“Sindiket dikesan menawarkan minyak masak untuk dijual dan terdapat iklan menawarkan harga (minyak masak peket) lebih murah daripada pasaran memandangkan barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.”

Katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 4 Julai 2022 sehingga 31 Dis 2023, sebanyak 62 pemeriksaan fizikal dilakukan di seluruh negara manakala sebanyak sebelas 11 aduan diterima dalam tempoh sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tiga tindakan kes bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil dan pihak terlibat yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian  disiasat.

“Antara kesalahan dilakukan (termasuk) berurus niaga barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak, tanpa lesen yang sah, dan menyimpan minyak masak di tempat tidak dilesenkan,” katanya.

Selain itu, kata Azman, sebanyak 198 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual itu secara dalam talian diturunkan dalam tempoh sama.

KPDN memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi, terutama minyak masak sentiasa mematuhi undang-undang.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual dalam talian,” katanya.

Menurutnya, pihak didapati bersalah melakukan kegiatan itu boleh didenda antara RM1 juta hingga RM5 juta selaras Akta Kawalan Bekalan 1961. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button