Berita

KPDN serbu kilang proses ubat batuk tiruan di Mantin

KPDN turut membekukan akaun RM10.68 juta.

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang disyaki memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan, dan menahan seorang wanita dipercayai bertanggungjawab mengendalikan premis itu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata dalam serbuan itu, sejumlah 10,000 botol ubat batuk siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk memproses ubat berkenaan, turut dirampas.

“Kesemua bahan-bahan terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Azman berkata, operasi bersepadu pada 15 Disember lalu itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) susulan aduan diterima serta risikan awal oleh KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

Selain itu, beliau berkata, dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan berkenaan turut disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 56 akaun turut dibeku membabitkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala baki adalah lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta.

Azman berkata, syarikat terbabit juga akan disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), iaitu kesalahan pengubahan wang haram, manakala wanita berusia 38 tahun itu pula disiasat bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

Beliau berkata, KKM juga akan menjalankan siasatan lanjut bawah Akta Racun 1952 (Akta 366) yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button